ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran rumah sewa didiami tiga beranak di Kampung Senor, Meranti, Pasir Mas, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Syaherah Mustafa


TIGA beranak tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman disewa mereka terbakar dalam kejadian di Kampung Senor, Meranti, Pasir Mas, hari ini.

Kejadian pada 5.45 petang itu tidak membabitkan kecederaan kerana tiga beranak berkenaan tiada di rumah.

Mangsa, Mat Rani Che Mamat, 43, berkata, ketika kejadian dia bersama dua anak berusia enam dan tujuh tahun berada di tapak pasar malam di Tumpat untuk berniaga sebelum menerima panggilan telefon daripada jiran.

Menurutnya, luluh hatinya sebaik tiba di rumah apabila melihat rumah sewanya hangus terbakar, malah semua dokumen penting dan pakaian musnah.

“Nasib baik saya bawa dua anak bersama termasuk seorang anak kurang upaya (OKU) jenis lembam pergi berniaga. Kalau tidak sudah tentu mereka turut menjadi mangsa kebakaran.

“Saya sudah tiada tempat berlindung dan tidak tahu ke mana mahu menumpang kerana tiada adik beradik. Rumah sewa ini sudah empat tahun saya dan anak berteduh selepas berpisah dengan bekas isteri.

“Bagaimanapun saya bersyukur ketika kejadian anak ada bersama saya. Harta boleh dicari, namun anak tiada ganti,” katanya yang berniaga pakaian di tapak pasar malam di Pasir Mas dan Tumpat.

Mat Rani berkata, anak sulungnya, Mohamad Asif Tarmizi memiliki kad OKU, namun tidak mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, dia reda dengan kejadian itu walaupun masih terkejut dan menganggap ia sebagai dugaan besar buat dirinya serta anak.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Mas, Pegawai Bomba Kanan II Adnan Muhammad Juri, berkata pihaknya menerima panggilan pada 6.09 petang dan sampai ke lokasi kejadian 15 minit kemudian.

“Seramai tujuh anggota ditugaskan ke tempat kejadian bagi memadam kebakaran yang mengambil masa selama 10 minit.

“Ketika sampai ke lokasi kami mendapati api sudah marak dan kebakaran ini memusnahkan keseluruhan rumah disewa tiga beranak berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 10:09 PM