GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menyediakan perkhidmatan kesihatan mental di 1,001 klinik kesihatan di seluruh negara sebagai langkah rawatan, pengesanan awal dan pencegahan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, antara perkhidmatan yang disediakan termasuklah aktiviti promosi, pengesanan awal dan pengurusan kes berkaitan cubaan bunuh diri.

Selain itu, klinik kesihatan remaja yang merangkumi perkhidmatan kaunselling turut disediakan.

“KKM juga memberi perkhidmatan psikiatri di empat buah institusi mental dan 61 hospital kerajaan di seluruh Malaysia.

“Ia menawarkan rawatan dan intervensi psikiatri, serta saringan pengesanan awal kepada individu-individu yang disyaki mengalami masalah kesihatan mental,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Dzulkefly menjawab soalan Datuk Dr Hassan Bahrom (PH- Tampin) mengenai usaha kerajaan bagi menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan rakyat Malaysia yang semakin membimbangkan.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, KKM komited menangani kesihatan mental, untuk itu pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuklah penetapan Pelan Rancangan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental (2019 -2025) yang akan dilancarkan September depan.

Kata Dzulkefly, KKM giat melaksanakan aktiviti kesedaran berkaitan kesihatan mental menerusi Kempen Cara Hidup Sihat di pelbagai platform.

Katanya, kementerian mewujudkan Portal MyHealth yang memuatkan maklumat tepat mengenai topik berkaitan kesihatan mental.

“Selain itu, KKM turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan Program Minda Sihat dalam kalangan pelajar sekolah Tingkatan 4, seluruh negara bagi memperkasakan pelajar bagi menangani sikap agresif, buli, tekanan serta cabaran kehidupan seharian.

“Bagi membantu remaja yang mempunyai masalah emosi, murung, dan keinginan untuk membunuh diri, KKM turut bekerjasama dalam mempromosikan perkhidmatan The Befrienders, NGO yang menawarkan perkhidmatan kaunseling,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 2:18 PM