Mohd Hafizee Mohd Arop


SINDIKET ceti haram atau along yang menggunakan modus operandi secara atas talian didapati semakin berani menyimbah cat, merantai pagar rumah peminjam dan menampal nota pada dinding rumah.

Tindakan itu dilakukan sindiket yang beroperasi sekitar Perak, Selangor dan beberapa negeri lain sekiranya peminjam gagal membayar hutang dengan kadar faedah dikenakan sebanyak 10 hingga 15 peratus.

Difahamkan, sindiket itu menjalankan urus niaga menggunakan sistem atas talian iaitu peminjam perlu memberikan gambar kad pengenalan yang diambil bersama wajah mereka serta beberapa dokumen lain.

Selepas menerima semua dokumen dikehendaki, jumlah wang dipinjam akan dikreditkan ke dalam akaun peminjam dan urusan pembayaran hutang juga dilakukan menerusi pindahan wang ke akaun sindiket berkenaan.

Kegiatan itu berjaya dilumpuhkan selepas Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak memberkas lima lelaki dan seorang wanita dipercayai ahli sindiket berkenaan.

Ketua JSK Perak, Superintendan Hasbullah Abd Rahman berkata, semua suspek berusia antara 24 hingga 34 tahun itu ditahan di sebuah kondominium di Serdang, Selangor, jam 10 malam, kelmarin.

“Semua suspek diberkas hasil risikan selama dua bulan susulan laporan dibuat seorang wanita mendakwa rumah serta keretanya disimbah cat manakala pagar rumah dirantai dan ditampal nota tulisan cina bermaksud ‘hutang wang kena bayar’ pada 28 Mei lalu.

“Polis turut merampas beberapa barangan dari kondominium berkenaan antaranya telefon bimbit pelbagai jenama, kad mesin juruwang automatik (ATM) pelbagai bank, penyembur warna merah dan hitam, tin cat merah, sejumlah rantai besi dan kabel pengunci.

“Siasatan awal mendapati cat merah dan penyembur berwarna itu akan digunakan untuk menyembur rumah mangsa bagi menakutkan mereka yang gagal membayar hutang,” katanya dalam sidang media di IPK Perak, hari ini.

Hasbullah berkata, siasatan juga mendapati sindiket itu akan merantai rumah peminjam yang gagal membayar pinjaman pada masa ditetapkan dan meninggalkan nota dengan tulisan berbaur ugutan.

Katanya, semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan direman selama tiga hari bermula semalam bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 29B(1) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 4:49 PM
HASBULLAH (tiga kanan) menunjukkan rantai besi yang dirampas daripada sindiket ceti haram. FOTO Muhaizan Yahya