Norizuan Shamsuddin


PENDUDUK Kampung Besol, Bukit Besi dekat Dungun, hari ini dikejutkan dengan kehadiran seekor harimau belang di kawasan kediaman mereka.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi Ghazali Sulaiman berkata, pihaknya menerima aduan penduduk yang memaklumkan mereka terserempak haiwan itu di kawasan hutan di kampung berkenaan kira-kira jam 10 pagi.

“Kemudiannya harimau itu muncul beberapa kali berdekatan dengan kawasan kediaman penduduk.

“Ini kali pertama haiwan itu muncul berhampiran hutan sebelum kembali ke habitatnya selepas terserempak dengan penduduk,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, harimau itu juga dikatakan muncul berhampiran rumah seorang wanita dan penghuninya menyedari kehadiran selepas mendengar harimau itu mengaum.

Katanya, suri rumah berusia 40-an itu segera melarikan diri bagi mendapatkan bantuan jiran kerana bimbang diserang.


Kehadiran harimau belang di Kampung Besol yang dirakam penduduk. FOTO Ihsan Pembaca

Menurut Ghazali, penduduk juga sempat merakam gambar dan video ketika haiwan itu muncul dan berkeliaran berhampiran sebuah kereta serta jalan kampung berkenaan.

“Harimau itu kelihatan seperti jinak dan tidak lari apabila didekati beberapa penduduk yang mengambil gambarnya.

“Setakat ini, ia tidak menyerang penduduk atau ternakan tetapi kita minta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu menangkap segera harimau itu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak pasti haiwan berkenaan sesat dari hutan simpan berdekatan atau sebaliknya.

Katanya, ada penduduk mendakwa melihat terdapat dua ekor harimau di kawasan berhampiran tetapi tidak dapat dipastikan lagi kesahihannya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Terengganu Dr Abdul Malik Mohd Yusuf ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kehadiran haiwan itu dan pihaknya sedang mengesannya.

“Kakitangan PERHILITAN segera dikerah ke lokasi kejadian untuk menangkapnya sebaik menerima aduan mengenainya.

“Buat masa ini, kita sedang berusaha untuk menangkap harimau belang itu dan kita juga belum dapat mengenal pasti dari mana harimau belang itu datang.

“Kita juga tidak dapat mengesahkan sama ada ia jinak atau sebaliknya,” katanya.

Hari ini, satu video berdurasi satu minit 25 saat tular di media sosial menunjukkan seekor harimau sedang merayau-rayau di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 7:38 PM