Kehadiran harimau belang di Kampung Besol yang dirakam penduduk. FOTO Ihsan Pembaca
BERNAMA

DUA ekor harimau yang ditemui berkeliaran di sekitar Kampung Besul, Bukit Besi, Dungun semalam berkemungkinan haiwan peliharaan berdasarkan sifatnya yang jinak, kata Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu Dr Abdul Malek Mohd Yusof.

Dr Abdul Malek berkata, pihaknya mengesyaki dua ekor harimau yang dipercayai seekor betina dan anak jantannya itu adalah haiwan peliharaan yang dilepaskan pemiliknya ke dalam hutan sebelum tersesat memasuki kawasan kampung.

“Selain itu kami juga beranggapan sifat jinak haiwan ini mungkin disebabkan faktor penyakit yang menyebabkan ia (harimau) kelihatan kurang bertenaga sehingga terpaksa dilepaskan ke dalam hutan.

“Bagaimanapun, kami tidak dapat pastikan perkara ini dengan tepat sebelum haiwan itu dapat ditangkap dan jika diikutkan binatang ini secara amnya sukar untuk dapat penyakit,” katanya ketika ditemui di lokasi harimau itu ditemui berkeliaran malam tadi.

Semalam tular di laman sosial mengenai kehadiran dua ekor harimau di Kampung Besul, Bukit Besi 10 pagi dan perkara itu disahkan oleh Dr Abdul Malek.

Dr Abdul Malek berkata, sejak petang semalam, pihaknya mengerah 20 kakitangan PERHILITAN ke lokasi untuk mengesan serta menangkap dua ekor harimau itu.

Beberapa perangkap juga dipasang di lokasi yang dikenalpasti dan diharap berjaya bagi menghilangkan kegelisahan penduduk kampung.

“Oleh itu saya minta untuk sementara waktu ini penduduk menghentikan dulu aktiviti hutan bagi mengelak risiko diserang.

“Jika terserempak jangan cuba bertindak berani dengan mendekatinya kerana bimbang diserang haiwan itu yang merasakan dirinya terancam,” katanya.

Beliau juga menasihati penduduk kampung supaya bertenang dan bersabar kerana PERHILITAN sedang berusaha menangkap kedua-dua harimau itu.

Berita berkaitan

Seram sejuk badan dijilat harimau

Rimau `jinak' masuk kampung [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 8:36 AM