SEBAHAGIAN restoran yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba.
Nur Lela Zulkipli


RESTORAN milik suami kepada pelakon Nadya Syahera di Seksyen 7, Shah Alam terbakar kira-kira 10 malam semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian pada 10.12 malam.

“Sepasukan 16 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dikerah ke lokasi. Turut serta seunit van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Setibanya di situ, didapati dapur restoran mangsa terbakar dipercayai berpunca daripada tong gas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, api berjaya dikawal daripada merebak ke seluruh premis dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan.

Sebelum ini, media melaporkan kisah rumah tangga pelakon itu dan suaminya, Fizul Nawi yang berantakan.

Malah, Nadya Syahera turut dilapor mendedahkan kecurangan suaminya dan lelaki itu didakwa membuat undian di Instastory berhubung masa depan rumah tangga mereka.

Berita berkaitan

Nadya Syahera baik pulih hubungan dengan suami

'Undi untuk bercerai tak wajar'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 12:36 PM