Fairuz Zaidan


KEMENTERIAN Pendidikan sedang mengumpul maklum balas masyarakat termasuk pihak berkepentingan berhubung pelaksanaan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata, kementerian terbuka dengan cadangan itu yang akan menggunakan sistem baharu sekiranya dilaksana.

“Setakat ini, tiada tempoh masa ditetapkan, tetapi kita juga akan membuat kajian lanjut dan memerlukan sedikit masa (untuk mendapat keputusan),” katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan tambahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jasin Lalang di Jasin, hari ini.

Perasmian bangunan baharu bernilai RM600,000 itu turut dihadiri Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) SJKC Jasin Lalang, Datuk Chong Tan On.

Mengulas lanjut, Teo berkata, ketika ini kementerian sudah memberi pilihan sama ada pengajaran dan pembelajaran (P&P) dibuat dalam bahasa Malaysia atau Inggeris.

Selasa lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan mengkaji pelaksanaan semula dasar PPSMI menggunakan sistem baharu.

Beliau dipetik berkata, dengan sistem berteknologi itu, pengajaran guru terbaik direkodkan untuk penggunaan di semua sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 1:35 PM
TEO beramah mesra dengan Nur Balqis Adrianna Mohd Redzuan, 9, (kiri) dan Wong Man Yi, 9, (kanan) ketika lawatan ke SJKC Jasin Lalang. FOTO Khairunisah Lokman.