FOTO hiasan
Iskandar Shah Mohamed dan Siraj Mohd Zaini


SEBANYAK 1,133 kawasan membabitkan lebih 1.1 juta pengguna di ibu negara dan Selangor akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan pencemaran bau di Sungai Selangor.

Kawasan terjejas termasuk di Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, gangguan itu berikutan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (LRA SSP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3) terpaksa dihenti tugas.

“Air Selangor dengan kerjasama beberapa agensi sedang berusaha sepenuhnya mengatasi masalah ini.

“Kami mohon maaf atas segala kesulitan dan mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada 1,166,842 pelanggan.

“Maklumat dan status terkini gangguan bekalan air itu boleh disemak menerusi laman sesawang www.syabas.com.my atau menerusi aplikasi Air Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Anthony Santiago ketika dihubungi, berkata bekalan air di semua lokasi terjejas akibat pencemaran bau akan disalurkan secara berperingkat selepas selesai operasi pembersihan LRA dijalankan.

“Berdasarkan aduan dan siasatan, pencemaran berlaku akibat kemasukan satu punca air ke LRA Sungai Selangor.

“Namun, saya difahamkan satu daripada LRA itu sudah pulih dan dalam proses pembersihan sedang dijalankan ketika ini. Bekalan air kemudian disalurkan secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata, sebarang maklumat dan perkembangan lanjut mengenai gangguan itu akan dikeluarkan Air Selangor.

Air Selangor sebelum ini memaklumkan penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air bermula 23 hingga 26 Julai depan.

Gangguan ini memberi laluan kepada kerja penggantian peralatan loji dan injap uzur yang berusia hampir 20 tahun di LRA SSP1.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 7:05 PM