ZULKAFLI (kanan) bersama isteri sebelum berangkat ke Makkah. FOTO EKHWAN HAQUE FAZLUL HAQUE
Ekhwan Haque Fazlul Haque


“DALAM usia 83 tahun selain kudrat semakin lemah, Allah SWT masih memberi peluang untuk saya menunaikan haji,” luah warga emas Zon @ Zulkafli Mat Kari.

Beliau dan isteri, Kamariah Kamarudin, 66, antara 483 jemaah berlepas ke Makkah menunaikan Rukun Islam kelima menerusi penerbangan KT32, hari ini.

Menurutnya, selepas menunggu selama 10 tahun menunaikan haji, akhirnya berita gembira itu diterima menerusi panggilan telefon Mei lalu.

“Saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana akhirnya niat menunaikan haji dimakbulkan walaupun dalam usia emas ini.

“Sukar untuk berjalan kerana mengalami masalah kesihatan sehingga perlu berkerusi roda tidak mematahkan semangat, malah menjadikan saya lebih kuat untuk menunaikan ibadat di Makkah kelak,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji (TH), Sepang, hari ini.

Dia yang berasal dari Bidor, Perak berkata, dia dan isteri bersyukur kerana lapan anak mereka banyak membantu menyediakan kelengkapan ke Tanah Suci bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

Tambahnya, beliau berdoa dikurniakan kesihatan baik sepanjang berada di Makkah dan mampu menunaikan semua rukun haji bersama isteri dan jemaah lain.

Sementara itu, peniaga, Mohd Azmizi Yahaya, 37, tidak menyangka dapat menunaikan haji lebih awal berbanding tempoh giliran diberikan.

Ini kerana katanya, TH membenarkannya menjadi pengiring kepada bapanya, Yahaya Mohd Napi, 78, selepas ibunya Rahmah Zakaria tidak dapat turut serta kerana masalah kesihatan.

“Saya bersyukur dapat menunaikan haji seawal usia 37 tahun dan berharap doa ibu dikurniakan kesihatan baik dan dapat menjejak kaki di Makkah dimakbulkan,” katanya yang berasal dari Kampung Gajah, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 3:46 PM