Laporan sebelum ini mengenai kejadian murid SK Linggi mengalami keracunan.
Raja Noraina Raja Rahim dan Hasbi Sidek


KECUAIAN manusia dikesan menjadi penyebab kepada 24 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Linggi dekat Port Dickson mengalami keracunan selepas terhidu racun serangga daripada ladang cili berhampiran pada Khamis lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin berkata, penyemburan racun dilakukan tidak mengikut jadual ditetapkan.

Menurutnya, ia sepatutnya dilakukan pada lewat malam atau hari minggu iaitu ketika tiada murid mengikuti sesi pembelajaran di sekolah itu.

“Berdasarkan siasatan Jabatan Pertanian mendapati semburan racun serangga di ladang cili yang terletak 500 meter dari sekolah berkenaan dilakukan pada 9 pagi dengan keadaan cuaca agak berangin.

“Ini menyebabkan semburan tersebar ke kawasan sekolah seterusnya memberi kesan keracunan kepada murid yang terhidu racun berkenaan,” katanya ditemui media ketika menghadiri program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR Sesi 2018/2021, hari ini.

Dalam kejadian pada Khamis lalu, 24 murid SK Linggi mengalami keracunan selepas terhidu racun serangga terpaksa dirujuk ke Klinik Kesihatan Linggi dan Hospital Port Dickson (HPD) untuk mendapatkan rawatan.

Kebanyakan murid mengalami gejala keracunan seperti muntah, pening dan cirit-birit.

Mengulas lanjut, Tze Tzin berkata, siasatan pihaknya juga mendapati racun serangga digunakan jenis Malathion adalah tidak sesuai untuk ladang cili.

Menurutnya, pihaknya juga mendapati pekerja yang melakukan semburan itu tidak dilatih dengan betul untuk mengendalikan racun perosak.

“Ladang itu baru mula beroperasi dan pekerja mereka tidak berpengalaman. Pemilik ladang seharusnya menghantar pekerja menjalani latihan dengan Jabatan Pertanian.

“Ini penting supaya pekerja terutamanya warga asing tahu cara membaca label dan kuantiti racun yang boleh digunakan.

“Kebanyakan pemilik ladang tidak mengikuti latihan itu walaupun jabatan itu sudah menawarkannya (latihan) sejak 2006,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Pertanian akan memantau penggunaan racun perosak di ladang berkenaan agar mengikut undang-undang ditetapkan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 8:44 PM