GAMBAR hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein


WANITA cedera di kepala selepas terbabit kejadian cubaan samun di hadapan rumahnya di Taman Bukit Indah, Johor Bahru, Selasa lalu.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, wanita berusia 48 tahun berada di hadapan rumahnya sebelum didatangi lelaki bermotosikal.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki berbadan kurus yang menunggang motosikal tiada nombor pendaftaran itu mendekati mangsa untuk bertanyakan kawasan.

“Mangsa kemudian menegur suspek kerana suspek terlalu rapat dengannya. Ketika ditegur, suspek cuba merampas beg sandang mangsa dan bergelut dengan suspek menyebabkan mangsa terjatuh.

“Jiran mangsa nampak kejadian itu dan menjerit kepada suspek menyebabkan suspek terkejut dan melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, mangsa luka di kepala kiri, namun tidak mengalami sebarang kerugian.

Katanya, mangsa juga terus ke balai polis untuk membuat laporan.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sudah diperoleh dan mendapati suspek disyaki seorang lelaki itu menunggang motosikal Honda Wave.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun hingga mendatangkan kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 10:02 AM