KEADAAN motosikal yang terbabit dalam kemalangan lima kenderaan.
Mohd Azam Shah Yaacob


REMAJA lelaki maut manakala dua lagi cedera terbabit kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Hulu Selangor, 2.30 pagi, hari ini.

Mangsa, Mohammad Fakrurraziq Eddy Izzudin, 19, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan bahagian badan, manakala dua lagi rakannya yang berusia 18 dan 19 tahun mengalami luka di bahagian muka dan kaki.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Azman Ab Rahman berkata, kejadian berlaku di kilometer 430.4 Lebuhraya PLUS itu turut membabitkan sebuah lori dan kereta.

Katanya, berdasarkan maklumat saksi kejadian, kemalangan berlaku apabila mangsa dari arah Sungai Buaya menuju Bukit Beruntung terlanggar belakang sebuah lori di lorong kiri lebuh raya.

“Susulan pelanggaran itu, mangsa terjatuh di atas lebuh raya dan dua lagi penunggang motosikal yang berada di belakangnya tidak sempat mengelak dan terus melanggar mangsa.

“Sebuah kereta yang kebetulan melalui laluan berkenaan juga mengalami kerosakan pada bahagian hadapan apabila terlanggar dua daripada tiga motosikal berkenaan kerana tidak sempat mengelak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun pemandu lori serta kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan selain hanya kerosakan pada kenderaan masing-masing.

Katanya, mayat mangsa serta dua lelaki yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh, bagi bedah siasat dan rawatan.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta pengangkutan Jalan 1987.

"Polis akan menjalankan ujian air kencing terhadap dua penunggang yang kini mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh berkenaan kemudian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 10:57 AM