ABANG Johari Abang Openg. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


RAKYAT Sarawak wajib mengetahui tarikh 22 Julai sebagai hari bersejarah yang menjadi permulaan kepada peristiwa penting terutamanya pemberian kuasa kepada anak tempatan untuk mentadbir negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, anak Sarawak yang lahir sebelum 1963 menjadi saksi kepada pembangunan yang berlaku selepas peristiwa bersejarah 22 Julai 1963 itu.

Beliau berkata, pembangunan Sarawak merangkumi ekonomi, sosial san fizikal malah politik berlaku dalam beberapa fasa sejak tarikh keramat itu hingga hari ini.

“Justeru, setiap anak Sarawak perlu mengetahui bahawa tarikh 22 Julai itu adalah yang terpenting dalam sejarah pembangunan negeri ini,” katanya dalam buku cenderahati sempena sambutan Hari Sarawak, esok.

Abang Johari berkata, selepas melalui beberapa fasa pembangunan, Sarawak kini memasuki era baharu untuk mengukuhkan ekonomi seiring dengan perubahan iklim ekonomi global.

“Kita harus bersedia untuk mengukuhkan ekonomi Sarawak dengan melaksanakan ekonomi digital dan kita tidak boleh ketinggalan dalam pembaharuan itu.

“Rakyat Sarawak juga harus mengekalkan semangat perpaduan dan bersatu untuk memastikan negeri kita mencapai status negeri maju pada tahun 2030,” katanya.

Sambutan Hari Sarawak tahun ini diadakan di Bintulu, sekali gus sambutan pertama diadakan di luar Kuching, sejak 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 12:15 PM