GAMBAR HIASAN
Mohd Roji Kawi


PERKENALAN singkat menerusi laman sosial Instagram membawa padah apabila remaja perempuan menjadi mangsa rogol kenalan sebaya dengannya itu, Khamis lalu.

Sebelum kejadian, kira-kira 8.30 malam, mangsa berusia 15 tahun dikatakan mengikut kenalannya itu bersiar-siar menaiki motosikal sebelum suspek membawa mangsa ke rumahnya di Kampung Sungai Ud, Dalat.

Sumber berkata, berikutan sudah lewat malam, suspek mengajak mangsa tidur di rumahnya dan mangsa bersetuju.

Bagaimanapun, katanya, keesokan paginya, suspek dikatakan tiba-tiba bertindak kasar dan merogol mangsa.

“Suspek kemudian menghantar mangsa balik ke rumahnya pada 12 tengah hari, Jumaat lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintendan Roslan Leman yang mengesahkan kejadian itu berkata, suspek berusia 15 tahun itu ditahan selepas abang mangsa membawanya ke Balai Polis Oya, kira-kira 10.30 malam, Jumaat lalu.

“Suspek direman empat hari bermula semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 1:22 PM