KHAIRY Jamaluddin. FOTO Arkib NSTP
Nurul Fhatihah Zakinan dan Amir Mamat


“TEGURAN saya kepada kepemimpinan parti adalah ikhlas kerana saya masih sayangkan perjuangan ini,” kata Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, setiap teguran itu sewajarnya diambil perhatian untuk membolehkan usaha perbetulkan kesilapan dapat dibuat dengan sempurna dan berkesan.

Namun, disebabkan teguran itu, beliau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO turut menerima kecaman daripada beberapa pihak, termasuk ‘tentera siber’ upahan pihak tertentu.

“UMNO kena belajar daripada kesilapan, kita kena cakap apa yang berlaku dulu yang menyumbang kepada kekalahan kita pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Kalau tidak, kita tidak akan belajar daripada sejarah dan mengulangi kesilapan sama pada PRU akan datang,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Melaka di Melaka, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua UMNO bahagian, Datuk Abd Razak Abd Rahman.

Pada 10 Julai lalu, Khairy menyatakan rasa tidak gembira dengan pelantikan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN).

Beliau juga pernah menegur pemimpin UMNO supaya tidak menjadikan parti itu sebagai perisai dalam menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, teguran kepada kepemimpinan parti akan tetap dibuat meskipun ramai dalam kalangan pemimpin tidak menyukainya.

Menurutnya, ini kerana setiap teguran itu tidak membawa apa-apa niat buruk terhadap mana-mana individu termasuk pemimpin parti dulu dan sekarang, melainkan untuk kepentingan parti.

“Saya perlu nyatakan perkara yang saya rasa benar, kalau tidak selama itulah kita masih lagi hidup dalam penafian sekali gus tidak membawa apa-apa kebaikan kepada semua.

“Saya tegur kerana sayang (kepada parti), kalau tidak dah lama saya ‘cau’ (lari). Saya tidak peduli orang nak marah atau menggunakan ‘askar upahan’ untuk menghentam saya, asalkan kita dapat lihat parti berjalan dalam keadaan baik dan sempurna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 6:31 PM