DR Johari bertanyakan keadaan jemaah di bilik penginapan di Makkah. FOTO YUSRI ABDUL MALEK
Yusri Abdul Malek


PEMERIKSAAN kesihatan dari bilik ke bilik di semua 860 bilik jemaah di sembilan maktab penginapan di Makkah dijalankan bagi memastikan semua jemaah sihat dari segi mental dan fizikal sebelum mereka wukuf di Arafah.

Setakat ini, kebanyakan jemaah mengalami gangguan kesihatan kecil seperti batuk, demam, selsema, kulit kering dan sakit lutut adalah disebabkan perubahan cuaca.

Pakar Perubatan Kesihatan Awan merangkap Ketua Unit Kesihatan Awam, Dr Johari Awang Besar berkata, bagi memastikan kesihatan jemaah sentiasa dalam keadaan baik, pihaknya mengadakan lawatan kesihatan dari bilik ke bilik jemaah bagi berjumpa dan mengetahui keadaan mereka.

Katanya, setakat ini, pihaknya sudah 100 peratus melakukan pemeriksaan dari bilik ke bilik di semua maktab dan sudah mengenal pasti 35 jemaah berisiko tinggi mengalami masalah kesihatan.

“Jemaah diperiksa dan didapati berisiko akan disaring bagi memastikan mereka dapat menunaikan wukuf,” katanya selepas mengadakan lawatan bilik ke bilik jemaah.

Beliau berkata, pemeriksaan bilik ke bilik lebih berkesan kerana jemaah boleh berkomunikasi secara langsung dan bertanyakan sebarang soalan berkaitan kesihatan mereka.

“Kaedah ini lebih berkesan berbanding ceramah kesihatan kerana ada kemungkinan jemaah segan untuk bertanya. Kami juga mengedarkan risalah kepada jemaah agar dibaca dan dipraktikkan,” katanya.

Menurutnya, jemaah perlu prihatin dengan masalah kesihatan rakan sebilik dan jiran bilik bersebelahan.

“Jika ada jemaah mengalami masalah kesihatan, segera maklumkan kepada petugas klinik di maktab,” katanya.

Dr Johari berkata, pihaknya juga menasihatkan jemaah menjaga kesihatan terutama seminggu sebelum wukuf bagi memastikan mereka bersedia.

“Jangan stress, bersedia dari segi mental dan fizikal jika ada masalah kesihatan segera dapatkan rawatan awal. Pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati,” katanya.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 6:46 PM