ANTARA rumah yang dinaiki air akibat banjir kilat selepas hujan di sekitar Taman Tun Dr Ismail. FOTO Ihsan Pembaca
Khairul Najib Asarulah Khan


HUJAN lebat selama sejam di sekitar Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, menyebabkan banjir kilat berlaku di beberapa kawasan itu.

Hujan bermula 4.30 petang itu mengakibatkan banjir di Kampung Sungai Penchala, Jalan Penchala Hilir dan di terowong Penchala Link menghala Damansara.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur berkata, di kawasan Kampung Sungai Penchala dan Jalan Penchala Hilir berlaku limpahan air dari longkang berhampiran kawasan perumahan.

“Banjir kilat di terowong Penchala Link menghala Damansara pula akibat limpahan air dari tapak pembinaan di atas bukit ke jalan raya berhampiran.

“Jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tun Dr Ismail dan Sri Hartamas dikerah ke lokasi kejadian bagi membuat pemantauan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Operasi dari BBP Taman Tun Dr Ismail, Hayadudin Atan berkata, sembilan anggotanya dikerah ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan, jam 5.10 petang.

“Sebaik tiba, air sudah surut di mana tidak membabitkan mangsa berhubung kejadian berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 9:07 PM