MOHD Norazam di tempat bayi ditemui selepas ‘ditunjukkan’ kucing peliharaannya. FOTO Ihsan Pembaca.
Hazira Ahmad Zaidi


BAYI perempuan masih bertali pusat ditemui di atas rumput di kawasan pembakaran sampah dekat Jalan Dusun Muda, Kota Bharu, hari ini.

Bayi yang ditemui penduduk kampung pada 8.10 pagi itu dipercayai baru dilahirkan kerana masih terdapat kesan darah di anggota badannya.

Menurut saksi, Mohd Norazam Che Wahab, 31, dia menyedari kewujudan bayi malang itu ketika melepaskan kucing peliharaannya di luar rumah.

“Tiba-tiba kucing saya berlari dan saya mengejarnya kerana bimbang ia hilang.

“Bagaimanapun, kucing saya berhenti di satu tempat dan ketika itu saya mendengar bunyi seperti tangisan bayi. Saya sangka bunyi anak kucing tetapi apabila mencari, tak jumpa apa-apa.

“Saya bertanya jiran sekiranya ada bayi menangis di dalam rumah tetapi katanya tiada, sehinggalah menemui bayi perempuan tanpa pakaian di atas rumput.

“Saya segera berlari dan memanggil jiran untuk mengambil dan mengangkat bayi itu dan seorang anak jiran pula menghubungi polis,” katanya.

Mohd Norazam mendakwa seorang jirannya ada memberitahu ternampak kereta berhenti dalam tempoh lama di kawasan penemuan bayi perempuan itu sebelum kejadian.

“Namun, jiran saya itu tidak mengesyaki apa-apa pelik sehingga bayi itu ditemui,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan penemuan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 1:48 PM