MAYAT M Anbalagan ditemui pada 10.50 pagi. FOTO Ihsan Pembaca.
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI yang dilaporkan hilang ketika memancing di belakang sebuah hotel di Pantai Tengah, Langkawi, kelmarin ditemui lemas, hari ini.

Mayatnya ditemui nelayan dan pasukan penyelamat ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 10.50 pagi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa dikenali M Anbalagan, 38, ditemui kira-kira empat batu nautika dari lokasi dia dilaporkan jatuh.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Penolong Penguasa Bomba Mohd Shukri Ahmad Husaini mengetuai operasi hari ini bersama pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi dan Persiaran Putra,” katanya, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, SAR turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Dalam kejadian 5 petang Sabtu lalu, mangsa dikatakan terjatuh ketika memancing di lokasi kejadian selepas ombak kuat melanda kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 2:55 PM