Mohamed Azmin (dua kanan) bersalaman dengan orang ramai ketika hadir di Kampung Gajah hari ini. FOTO Muhaizan Yahya
Shaarani Ismail


TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mendedahkan siapa dalang yang menyebarkan video seks sejenis yang dikaitkan dengannya.

Mohamed Azmin sekali lagi menegaskan menyerahkan semua siasatan berhubung video seks itu kepada pihak berkuasa dan beliau tidak berhak dan tidak mempunyai peranan untuk membuat pendedahan kerana siasatan masih dilakukan pihak berkaitan.

“Saya sudah tegaskan itu (pendedahan), kita serahkan kepada pihak berkuasa dan pihak berkuasa sudah pun membuat laporan awal hasil siasatan bahawa ada tangan ghaib yang terbabit dan dengan jumlah wang yang begitu besar untuk melancarkan fitnah serangan ini.

“Jadi kita serahkan kepada pihak berkuasa (untuk dedahkan) dan saya tidak mempunyai peranan untuk membuat pendedahan itu kerana siasatan dibuat pihak berkuasa.

“Biarlah pihak berkuasa menentukan..,” katanya ringkas selepas menghadiri Majlis Silaturahim Menteri Hal Ehwal Ekonomi bersama Warga Peserta FELCRA Seberang Perak di Kampung Gajah hari ini.

Semalam, Mohamed Azmin mendedahkan bahawa beliau tahu siapa individu yang menjadi dalang dalam penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan dirinya selepas menghadiri majlis doa selamat dan kesyukuran menolak fitnah terhadapnya di Kediaman Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun Mohamed Azmin enggan mendedahkan nama individu berkenaan kerana perkara itu masih dalam siasatan dan memaklumkan supaya menunggu siasatan berkenaan lengkap terlebih dulu.

Mohamed Azmin turut memaklumkan beliau sudah menjangkakan terdapat unsur dalaman parti sejak hari pertama video itu tersebar.

Berita berkaitan

'Setia ada batasnya...' - Azmin

Pengerusi PKR negeri direman kes video lucah

Reman Haziq Abdullah kekal

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 5:50 PM