Mohamad Shahrin (dua dari kiri) bersama Mohamad Afiq (tiga dari kanan) serta ahli keluarga sebelum berlepas menunaikan haji. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

“SAYA bersyukur kerana doa untuk menunaikan haji bersama isteri dan tiga anak dimakbulkan walaupun terpaksa menunggu 11 tahun.

“Hanya Tuhan mengetahui perasaan saya ketika ini,” kata Mohamad Shahrin Mohd Aripin, 50.

Menurutnya, dia dan isteri Norlailawati Ahmad, 46, membuat simpanan di Tabung Haji (TH) menerusi potongan gaji RM50 sebulan sejak 2008 sebagai persiapan untuk menunaikan haji selain membuat tabungan apabila ada lebihan gaji.

Katanya, peluang menunaikan ibadah haji pasti menjadi kenangan terindah buatnya serta tiga anak iaitu Mohamad Afiq, 22, Mohamad Haziq Iqbal, 20 dan Nur Najibah, 16.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada TH yang memberi peluang kepada kami sekeluarga menunaikan haji tahun ini kerana tidak semua mendapat peluang seperti itu.

“Saya berharap semua ibadah haji yang akan dilakukan berjalan lancar,” katanya yang bertugas sebagai Guru Penolong Kanan (GPK) Kokurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Selendang, Rompin.

Sementara itu Mohamad Afiq yang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan berkata, dia dan dua adiknya sepatutnya menunaikan haji pada 2022.

Katanya, mungkin sudah tertulis rezeki mereka untuk turut sama ke Makkah bersama ibu bapa.

“Segala persiapan sudah dilakukan dan sejujurnya saya berdebar untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

“Saya berharap kami sekeluarga mendapat haji mabrur dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 6:24 PM