SEKOLAH Kebangsaan Pasir Gudang 2 dan perumahan yang bersebelahan dengan Kawasan Perindustrian Pasir Gudang. FOTO Arkib NSTP.


ANALISIS penempatan semula kilang berisiko tinggi di Pasir Gudang dijangka siap lima minggu lagi sebelum diserahkan kepada kerajaan Johor.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata, ketika ini kementeriannya sedang giat menyiapkan laporan itu.

Katanya, walaupun tiada kesan anomali, pembangunan di Pasir Gudang terlalu padat yang mana terdapat 2,000 kilang dan 257 daripadanya berasaskan bahan kimia.

“Daripada jumlah itu, 12 kilang sudah ditahan operasi dan tiga daripadanya dikenakan syor tindakan mahkamah.

“Oleh itu, kita buat analisis kedudukan sekolah dan juga kilang yang mana dijalankan oleh pakar alam sekitar, kimia, sungai, tanah dan sebagainya.

“Analisis akan turut memberi cadangan penempatan semula kilang berisiko tinggi serta langkah seterusnya yang boleh diambil oleh kerajaan negeri,” katanya pada Majlis Pelancaran Cabaran Bandaraya Karbon Rendah 2030 di Bandar Baru Bangi, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Dr Mohd Azhar Yahaya dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif GreenTech Malaysia, Syed Ahmad Syed Mustafa.

Sementara itu, Yeo berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan untuk mengenal pasti punca kejadian terbaru di Pasir Gudang.

Katanya, terdapat pelajar yang menunjukkan simptom seperti sesak nafas dan sebagainya walaupun indeks kualiti udara menunjukkan bacaan normal serta positif.

“Ini berbeza dengan Sungai Kim-Kim. Dalam insiden itu, melalui ujian air kencing dan juga darah terdapat kesan kimia. Namun, di Pasir Gudang adalah sifar.

“Sama ada mereka terhidu bahan kimia atau tidak, Jabatan Alam Sekitar sudah melakukan tindakan lanjut bagi mengatasi pencemaran itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 11:54 AM