Sebahagian daripada 2,006 unit barang tiruan bernilai lebih RM82,000 yang dirampas dari enam premis di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang semalam.
Mohd Azam Shah Yaacob


PADAH menjual barang tiruan menggunakan jenama terkenal, dua lelaki warga Bangladesh ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur dalam Ops Barang Tiruan di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang semalam.

Kedua-duanya yang berusia 20-an didapati bekerja dengan warga tempatan dan ditahan mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011 dan direman empat hari bermula hari ini hingga Jumaat.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur Ummi Nasrah Othman berkata, serbuan bermula 2 petang itu membabitkan 20 pegawai KPDNHEP dan disertai beberapa wakil pemilik cap dagang jenama di negara ini.

Katanya, enam premis diperiksa dan pihaknya merampas 2,006 unit barang tiruan seperti baju, kasut, beg tangan, dompet serta topi dianggarkan bernilai lebih RM82,000.

“Barangan berkenaan menggunakan jenama terkenal seperti Converse, Adidas, Nike, Puma, Vans, Fila, Louis Vuitton, Timberland, Mont Blanc, Jeep, Prada, Dior, Micheal Korrs dan Coach dikenal pasti tiruan oleh wakil cap dagang yang menyertai operasi itu.

“KPDNHEP turut menahan dua lelaki warga Bangladesh yang bekerja di dua premis diserbu semalam manakala serbuan di empat lagi premis membabitkan rampasan tanpa tuan berikutan penjaga atau pemilik premis itu sudah lari sebaik menyedari kehadiran kami,” katanya hari ini.

Beliau berkata, semua barang tiruan berkenaan dipercayai diimport dari luar negara dan dijual pada harga sekali ganda daripada modal dikeluarkan peniaga.

Katanya, sepanjang tahun ini dari Januari hingga semalam, KPDNHEP merampas 55,797 barang tiruan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM2 juta.

“Jumlah itu membabitkan 71 kes rampasan barang tiruan yang kita lakukan di sekitar ibu negara.

“Malah sepanjang tempoh itu juga, KPDNHEP sudah menahan 17 individu warga asing serta warga tempatan kerana menjual barang tiruan berkenaan,” katanya.

Menurut Ummi, pengguna diharap tidak menyokong kegiatan penjualan barang tiruan berkenaan dengan membeli produk terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 6:59 PM