Siti Sofia Md Nasir


LAPAN belas pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang akan didakwa di Mahkamah Butterworth secara berperingkat selama tiga hari bermula esok.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, mereka terdiri daripada pegawai dan penguat kuasa Gred 19 hingga 29 yang dipercayai terbabit dalam kes melindungi syarikat lori.

“Mereka akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Butterworth esok secara berperingkat.

“Setakat ini, hanya itu saja yang boleh saya berikan. Sama ada akan ada lagi tangkapan atau sebaliknya, kita tidak boleh dedahkan kerana tidak mahu ia mengganggu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang di Georgetown hari ini.

Januari lalu, lebih 70 pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang ditahan selepas disyaki terbabit dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya.

Semua pegawai penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 itu dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 ke RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori terbabit.

Difahamkan, pemandu lori itu hanya boleh dikenalpasti melalui pelekat khas yang dibekalkan anggota JPJ.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Berita berkaitan

Sembilan penguat kuasa didakwa terima rasuah [METROTV]

[UPDATE] Seorang lagi pegawai JPJ ditahan

Pegawai JPJ 'buka mulut'

Tiga lagi direman [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 7:12 PM
Latheefa Koya (tengah) pada sidang media di Pejabat SPRM Pulau Pinang hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal