Fatimah, ibu kepada Nur Syuhadah yang maut dalam kemalangan bersama suaminya Muhammad Hamadi di Lebuhraya Persekutuan, hari ini. FOTO NSTP
Fatimah, ibu kepada Nur Syuhadah yang maut dalam kemalangan bersama suaminya Muhammad Hamadi di Lebuhraya Persekutuan, hari ini. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


“DIA dan suami mengambil cuti esok untuk menghantar ibu bapa mentuanya ke Kompleks TH (Tabung Haji) di Sepang, tak sangka hajat mereka itu tak kesampaian,” kata Fatimah Mohd Yatim,60.

Fatimah adalah ibu kepada Nur Syuhadah Zaini, 31 yang maut dalam kemalangan bersama suaminya Muhammad Hamadi Zakaria, 31, di lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan, Petaling Jaya, hari ini.

Pasangan itu yang menaiki motosikal Honda CBR 500 itu tidak sempat mengelak dua motosikal yang bergesel di hadapan mereka sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan.

Fatimah berkata, dia tidak menyangka hajat pasangan suami isteri itu tidak kesampaian selepas terbabit dalam kemalangan pagi hari ini.

“Saya terkejut apabila dihubungi polis menggunakan nombor telefon Hamadi mengatakan bahawa anak dan menantunya maut dalam kemalangan.

“Kali terakhir saya bertemu dengan Syuhadah adalah semalam ketika bersarapan pagi bersama dengannya, namun dia tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, hari ini.

Gambar kenangan Nur Syuhadah, Muhammad Hamadi bersama dua anak mereka. FOTO Ihsan Pembaca
Gambar kenangan Nur Syuhadah, Muhammad Hamadi bersama dua anak mereka. FOTO Ihsan Pembaca

Menurutnya, anaknya itu tinggal di Seksyen 19 bersama dua anak perempuan mereka iaitu Hana Safiyyah, 6, dan Hani Safina, 2.

“Anak mereka seolah-olah faham dengan apa yang berlaku, namun masih dalam keadaan kebingungan.

“Perasaan saya berdebar-debar sejak daripada semalam dan tidak sangka sebenarnya itu adalah petanda dia dan menantu akan pergi selamanya,” katanya.

Berita berkaitan

Suami isteri maut rempuh motosikal bergesel

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 7:24 PM