AMIR Zakri (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan cek manfaat kepada Siti Zaiton Sapeai @ Shafie sambil diperhatikan Hilmy (dua dari kanan) dan Guru Besar SK Kedai Buloh 2, Zaiton Che Wil (kanan).
AMIR Zakri (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan cek manfaat kepada Siti Zaiton Sapeai @ Shafie sambil diperhatikan Hilmy (dua dari kanan) dan Guru Besar SK Kedai Buloh 2, Zaiton Che Wil (kanan).
Siti Rohana Idris


SERAMAI 65,070 daripada 100,550 isi rumah yang berdaftar dalam kelompok e-Kasih di negeri ini didapati tidak layak berada dalam kategori miskin dan miskin tegar.

Pengarah Pembangunan Negeri Kelantan, Amir Zakri Mahmad Mahyidin berkata, angka itu diperoleh selepas pihaknya membuat proses pemutihan yang mendapati pendapatan per kapita atau pendapatan peserta berdaftar melebihi had tertentu.

“Selepas disiasat secara terperinci jumlah pendapatan mereka ada yang melebihi RM2,000 dan itu terkeluar dari paras miskin serta termasuk dalam kategori B40.

“Setiap awal tahun, kami di Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dihujani pelbagai rayuan supaya dimasukkan data pemohon walaupun mereka tidak layak kerana peserta e-Kasih menerima banyak bantuan termasuk rebat elektrik RM40 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Buloh 2, selepas majlis penyerahan sumbangan basikal kepada 53 murid bagi empat buah sekolah di Kota Bharu menerusi Program ‘I Care For You’ Kelantan.

Amir Zakri berkata, sehingga kini Kelantan mencatatkan 5,501 keluarga dalam kategori miskin tegar manakala 29,979 untuk kategori miskin.

Beliau menjangkakan menjelang tahun hadapan, angka itu berkurangan dan menyasarkan kosong peratus bagi kedua-dua kategori terbabit atau dalam angka lainnya seramai 999.

“Bagi mencapai tujuan ini, ia bergantung kepada bantuan disalurkan sama ada dari pihak agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), agensi korporat dan pihak berwajib lain,” katanya.

Terdahulu, mengulas mengenai penyerahan sumbangan, Amir Zakri berkata, sumbangan itu peruntukan daripada Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) kepada murid daripada kategori miskin dan miskin tegar dari SK Kedai Buloh 2, SK Kedai Buloh 1, SK Che Latif dan SK Pulau Kundor.

Sementara itu, Ketua Jabatan Microtakaful dan Tanggungjawab Sosial (CSR) PruBSN, Hilmy Darmin Ab Rahman berkata, pembabitan mereka dalam program itu sebagai CSR syarikatnya dalam memastikan segala bentuk bantuan diberi sampai kepada mereka yang layak.

“Dalam majlis ini kami menyerahkan manfaat PruBSN Microtakaful Jariyah kepada seorang penerima yang meninggal dunia akibat kanser otak sebanyak RM10,000 yang diterima isteri arwah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 6:20 AM