MAYAT mangsa yang dipercayai dibunuh diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Raja Noraina Raja Rahim


MAYAT suami isteri yang dipercayai dibunuh di rumah mereka di Taman Desa Melati, Nilai ditemui di bahagian dapur dan bilik belakang dalam keadaan berlumuran darah.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Mohd Fauzi Abu Bakar berkata, bomba menerima panggilan kebakaran pada 9.23 malam sebelum dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai serta Seremban 2 terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran di rumah teres dua tingkat berkenaan.

“Sebaik tiba, anggota mendapati kebakaran berlaku di bahagian dapur. Anggota menemui mangsa lelaki di bahagian dapur dengan kesan darah di lantai sebelum mayat mangsa dibawa keluar.

“Operasi diteruskan dan anggota menemui mangsa wanita di bahagian bilik belakang bersebelahan dapur. Kedua-dua mangsa tiada kesan terbakar kerana bomba sempat memadamkan kebakaran di rumah itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam tadi.

Mohd Fauzi berkata, bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak dan hanya musnah 40 peratus di bahagian dapur.

Beliau berkata, operasi pemadaman mengambil masa kira-kira 40 minit.

Bagaimanapun, katanya, punca kejadian masih dalam siasatan dan mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 8:38 AM