ROSMAH hadir di Mahkamah Tinggi Jenayah 2. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Nor Azura Abdul Jalil


ISTERI bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan rasuah RM5 juta daripada Syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd, sebagai upah mendapatkan projek sistem solar, tiga tahun lalu.

Rosmah, 68, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan berkenaan dibacakan semula ketika prosiding di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan di Mahkamah Tinggi di sini.

Mengikut pertuduhan, Rosmah didakwa secara rasuah menerima suatu suapan untuk dirinya iaitu wang tunai berjumlah RM5 juta, daripada seorang individu, Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Rizal Mansor, 45, sebagai upah kerana telah membantu Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan projek yang dikenali sebagai ‘Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid’ dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini pada 20 Disember 2016.

Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, mahkamah membenarkan kes itu dibicarakan bersama dengan satu lagi kes rasuah yang dihadapi Rosmah bersama dengan Datuk Rizal Mansor sebelum ini.

Pada 30 Mei lalu, Mohamed Zaini menetapkan perbicaraan kes solar membabitkan Rosmah dan Rizal ditetapkan pada tahun 2020 selama 32 hari kecuali Jumaat.

Tarikh berkenaan adalah 3 hingga 6 Februari, 10 hingga 13 Februari, 17 hingga 20 Februari, 9 hingga 12 Mac, 6 hingga 9 April, 13 hingga 16 April, 20 hingga 23 April dan 27 hingga 30 April.

Mahkamah menetapkan 10 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 3:19 PM