MOHD Hanizam (empat dari kiri) menunjukkan gula-gula 'Ghost Smoke' dirampas dalam serbuan di SMI Industrial Park Demak Laut, Kuching. FOTO MELVIN JONI


SEBUAH premis dipercayai pemborong terbesar gula-gula ‘Ghost Smoke’ di negeri ini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di SMI Industrial Park Demak Laut, hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak, Mohd Hanizam Kechik berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 10.30 pagi.

“Kami berjaya merampas 792 paket gula-gula itu dianggarkan bernilai RM340.

“Siasatan awal mendapati bekalan produk itu berada di Sarawak sejak April lalu dan dipercayai diperoleh dari Semenanjung,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KPDNHEP Sarawak, Kuching, hari ini.

Mohd Hanizam berkata, rampasan itu adalah kedua selepas pihaknya merampas 14 kotak gula-gula berasap dari sebuah premis di Jalan Datuk Tawi Sli, semalam.

“Setakat ini, 1,128 paket sudah dirampas dan 110 premis sudah diperiksa di seluruh Sarawak sejak operasi dijalankan tiga hari lalu.

“KPDNHEP Sarawak akan terus melakukan operasi dan pemantauan bagi memastikan tiada gula-gula berasap itu dijual di Sarawak termasuk meningkatkan pemeriksaan dengan menumpukan premis di sekitar sekolah.

“Kami juga mempunyai pasukan risikan yang memantau melalui pelbagai platform termasuk media sosial bagi mengesan penjualan gula-gula berkenaan,” katanya sambil menambah gula-gula itu dijual antara 50 hingga 70 sen sepaket.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran kepada peniaga supaya tidak menjual atau menyimpan gula-gula berkenaan.

“Tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang melanggar Akta Perihal Dagangan 2011 dan perlanggaran undang-undang mengikut Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 6:22 PM