Antara warga asing yang ditahan dalam Ops Mahir di sekitar kawasan kilang di Gurun. Foto Ihsan JIM
Zuliaty Zulkiffli


SEKUMPULAN warga asing bertindak meredah lumpur dan merentasi titi untuk melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa ketika operasi bersepadu menerusi ‘Ops Mahir’ di sekitar kawasan perindustrian di Gurun, semalam.

Bagaimanapun, tindakan mereka itu gagal kerana seramai 41 pegawai dan anggota Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dan Perlis sudah mengepung kawasan berkenaan ketika serbuan kira-kira 12 tengah hari itu.

Pengarah JIM Kedah Zuhair Jamaludin berkata, seramai 560 orang warga asing dari pelbagai negara diperiksa dalam operasi di beberapa kilang itu.

Menurutnya, daripada jumlah itu seramai 152 orang ditahan membabitkan 68 warga China termasuk 14 wanita, tiga lelaki Taiwan, 18 lelaki Bangladesh, enam lelaki Myanmar, 28 lelaki India, 23 lelaki Pakistan.

“Selain itu, lima lelaki Nepal dan seorang lelaki Mesir turut ditahan dan kesemua mereka berusia lingkungan 20 hingga 67 tahun, manakala empat warga tempatan dikeluarkan saman saksi untuk membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)c Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa dan Perkara 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1983 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuhair berkata, kesemua mereka ditahan di lokap Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk membantu siasatan dan tindakan lanjut sebelum dihantar ke Depot Imigresen Belantik, Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 12:12 PM