PRODUK dari Thailand yang dirampas.
Zuliaty Zulkiffli


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan sebuah lori mengangkut produk dari Thailand yang dihasilkan daripada babi berikutan tidak memiliki permit import sah selain pengimport gagal mengemukakan Sijil Kesihatan Veterinar daripada negara asal.

Lori Isuzu itu ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (KIK) Durian Burung, Kota Putera, di sini, jam 12 tengah hari, 19 Julai lalu.

Pemeriksaan dijalankan Maqis menemukan 80 kilogram produk hasilan babi (sosej babi) disyaki cuba diseludup ke negara ini meskipun larangan pengimportan daging ternakan itu dari China, Thailand, Vietnam, Laos, Poland dan Belgium sudah dilaksanakan bagi mengelakkan risiko penularan virus ASF.

Pengarah Maqis negeri, Lily Rosalind berkata, sebarang pengimportan barangan hasilan haiwan seperti produk babi memerlukan permit daripada Maqis dan dokumen lain yang sudah dinyatakan dalam permit import.

Katanya, produk dirampas akan dimusnahkan mengikut prosedur ditetapkan bagi memastikan risiko kemasukan penyakit ASF dapat dicegah dan tindakan lanjut akan dikenakan kepada pengimport berkenaan.

“Perbuatan mengimport produk babi tanpa permit yang sah daripada MAQIS adalah menjadi kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut seksyen 11(3), akta sama.

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya, semalam.

Lily berkata, Akta 728 diguna pakai bagi memastikan kawalan penyakit haiwan mematuhi aspek kesihatan manusia selain dapat mengawal kemasukan perosak merbahaya yang boleh mengancam industri pertanian.

Menurutnya, hal ini boleh menyebabkan pihak kerajaan menanggung kerugian yang tinggi jika penyakit tidak di kawal dan boleh menjejaskan industri ternakan babi di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 6:10 AM