Skip this ad x
Nor Farhani Che Ad


SEKURANG-KURANGNYA 30 lori membawa muatan sampah memasuki Kampung Kemumbung, Sidam Kiri, Sungai Petani, setiap hari bagi melupuskan sisa sampah di satu kawasan di kampung berkenaan.

Setiap lori hanya dikenakan bayaran serendah RM20 untuk membuang pelbagai jenis sampah di kawasan di tepi Sungai Muda itu.

Demikian situasi didakwa dihadapi penduduk kampung berkenaan apabila terpaksa hidup dalam keadaan tidak selesa sejak lebih 10 tahun lalu berikutan masalah longgokan sampah di kampung mereka.

Lebih membimbangkan, mereka mendakwa sisa plastik dari kilang dilihat sudah mula dibuang di kawasan berkenaan sehingga menghasilkan habuk dan bau kurang menyenangkan.

Penduduk, Mat Isa Othman 60, mendakwa kegiatan melupuskan sampah itu dikesan sejak 2008, apabila salah seorang penduduk kampung membenarkan tanah miliknya dijadikan kawasan longgokan sampah dari luar.

“Awalnya, hanya sisa pembinaan seperti kayu, batu dan sebagainya dilonggokkan di kawasan terbabit, namun kini pelbagai sisa termasuk sisa kilang sudah mula dibuang di situ.

“Penduduk kampung terpaksa berhadapan dengan masalah habuk dan bau busuk seperti bau wayar terbakar setiap hari dan ia datang dari longgokan sampah sarap itu,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Penduduk lain, Ajis Ahmad, 40, mendakwa, beberapa laporan sudah dilakukan kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) berhubung masalah itu, namun sehingga kini tiada jalan penyelesaian dibuat.

“Pihak berkuasa ada datang berjumpa penduduk kampung dan melihat sendiri lokasi longgokan sampah ini, tetapi kami lihat tiada perubahan dilakukan.

“Malah, kegiatan melonggokkan sampah di kawasan ini semakin aktif sehingga menyebabkan terdapat sebahagiannya jatuh ke dalam Sungai Muda yang berada di tepi kawasan sampah itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Tindakan Alam Sekitar (PTAS) Sungai Petani, Lydia Ong yang mengadakan lawatan ke tempat berkenaan kesal apabila tiada tindakan tegas dilakukan pihak berkuasa terhadap masalah dihadapi penduduk sejak sekian lama itu.

“Difahamkan beberapa kilang dari sekitar Sungai Petani dan Kulim menjadikan lokasi ini sebagai tempat pembuangan sisa kilang mereka.

“Sepatutnya kawasan longgokan sampah perlu berada sekurang-kurang 500 meter dari sungai, bagaimanapun kegiatan ini dilakukan betul-betul di tepi sungai,” katanya.

Lydia berkata, pihaknya meminta supaya pihak berkuasa memandang serius isu berkenaan memandangkan kawasan itu berada di tepi Sungai Muda yang menjadi sumber air bagi penduduk Pulau Pinang dan punca pengairan bagi penanaman padi di Kedah.

Sementara itu, kerajaan negeri melalui agensi berkaitan akan menjalankan siasatan segera berhubung masalah longgokan sampah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar negeri, Simon Oii, berkata, siasatan terperinci akan dilakukan termasuk mengenal pasti pemilik tanah di kawasan itu sebelum tindakan undang-undang diambil.

“Saya agak terkejut apabila dimaklumkan masalah ini sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu.

“Kita akan melakukan siasatan untuk mengetahui pemilikan tanah di kawasan itu sama ada berlaku salah guna tanah dan mengenal pasti pihak yang membuang sampah di kawasan ini,” katanya ketika dihubungi.

Simon berkata, sekiranya didapati tanah berkenaan milik persendirian, tindakan akan dikenakan terhadap pemilik tanah kerana menjalankan kegiatan pelupusan sampah tanpa lesen.

Beliau berkata, pemilik tanah berkenaan tidak boleh menguruskan sisa sampah kerana dia bukan syarikat mempunyai lesen untuk mengambil sisa daripada orang lain.

“Ini adalah satu kesalahan dan kita boleh ambil tindakan ke atas pemilik tanah serta orang yang membuang sampah di situ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 5:50 PM
LYDIA (kanan) menunjukkan sampah dibuang di kawasan tepi Sungai Muda di Kampung Kemumbung, Sidam Kiri, Sungai Petani, hari ini. FOTO Nor Farhani Che Ad.