Enab bersama suami terpilih menjadi tetamu Allah SWT sempena musim haji 1440H/2019M. FOTO Faliq Lajim


“SAYA dan suami kumpul duit sejak 30 tahun lalu dengan hasil menjahit dan menjual hasil kelapa sawit,” kata Enab Suman, 64.

Enab berkata, dia bersyukur apabila diberi peluang bersama-sama suami, Abd Maghrith Romli, 74, menunaikan Rukun Islam kelima itu tahun ini selepas mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH) sejak 2009.

“Sudah lama kami kumpul sebab hendak pergi haji dan jika ada duit lebih kami terus simpan. Sikit demi sikit.

“Penat lelah kami kumpul duit selama ini akhirnya berbaloi. Selepas saja wang simpanan cukup, kami terus pergi daftar di TH.

“Alhamdulillah tahun ini kami diberi peluang menjadi tetamu Allah SWT,” katanya dari Raub, Pahang.

Sementara itu, Abd Maghrith berkata, mereka sangat gembira apabila menerima berita melalui surat tawaran TH Mei lalu.

Katanya, dia berharap perjalanan mereka bersama jemaah lain berjalan lancar dan semua urusan dipermudahkan sepanjang di sana.

“Kami berharap kami dalam keadaan sihat dan cergas sekali gus mendapat haji mabrur, Insha Allah,” katanya.

Enab dan Abd Maghrith antara 482 jemaah berlepas ke Makkah menerusi penerbangan KT43B (CXY5778) hari ini.

Semua jemaah itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah, 2.30 petang tadi dan dijangka tiba 5.55 petang (waktu Arab Saudi).

tamat

Caption:

Enab bersama Abd Maghrith yang terpilih menjadi tetamu Allah sempena musim haji 1440H/2019M.

From: Faliq

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 12:50 AM