ANTARA yang ditahan dalam serbuan judi di ladang sawit di Kota Tinggi, semalam. FOTO Ihsan Polis.
Nurul Amanina Suhaini


DUA kanak-kanak lelaki tiga tahun, antara 34 individu yang ditahan polis dalam serbuan di tapak judi di ladang sawit, Bukit Aping Barat, Kota Tinggi, semalam.

Difahamkan, kanak-kanak itu dibawa bapa masing-masing untuk berjudi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, serbuan pada 5.30 petang itu menahan semua mereka yang berusia tiga hingga 65 tahun termasuk lelaki Indonesia dan dua Thailand.

Katanya, pihaknya mendapat maklumat mengenai perjudian holo dan sabung ayam di situ dan sepasukan pegawai dan anggota melakukan serbuan sempena Op Judi Laga Ayam.

“Ketika serbuan, aktiviti judi rancak dijalankan dan pemeriksaan mendapati mereka menjalankan perjudian holo dan sabung ayam dengan 27 ayam laga ditemui.

“Rampasan dibuat membabitkan 10 sangkar besi ayam laga, 11 sangkar plastik ayam laga dan sebuah penimbang elektronik jenama Camry selain ayam hidup.

“Turut dirampas, sebilah taji ayam laga, satu kotak B-Complex Vitamins Minerals yang di dalamnya mengandungi sembilan papan kecil tablet, sekotak Derby Pills di dalamnya mengandungi dua papan tablet, selain satu kotak Viminolak mengandungi enam papan tablet, satu papan ‘White Box’, tiga ‘Walkie Talkie’ jenama Baofeng dan wang tunai bernilai RM10,526,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahsmon berkata, semua tahanan dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 dan Seksyen 6(1)c) Akta Imigresen 1959/63.

“Semua tahanan direman bermula semalam sehingga 1 Ogos depan dan tangkapan warga asing pula direman sehingga 11 Ogos untuk siasatan lanjut.

“Kanak-kanak itu pula diserahkan kepada keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 5:23 PM