LEMBU yang berkeliaran tanpa diketahui pemiliknya. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


TINDAKAN beberapa pemilik lembu di kawasan Pajam dan berhampiran Pangsapuri College Height di sini, yang sengaja melepaskan ternakan terutama pada waktu malam mengundang rasa tidak puas hati penduduk sekitar.

Ini berikutan kehadiran puluhan lembu bukan saja mengganggu keselamatan pengguna jalan raya, malah menyebabkan sampah dalam tong bersepah.

Ahli Majlis Perbandaran Nilai (MPN), V Yogeswaran berkata, pihaknya menerima aduan orang ramai terutama pengguna jalan raya dan penduduk k sejak beberapa hari lalu mengenai masalah berkenaan.

Katanya, sekurang-kurangnya 15 lembu berkeliaran di kawasan itu pada waktu malam sehingga mengganggu lalu lintas selain mengancam keselamatan ramai.

“Berdasarkan aduan, lembu berkenaan dilepaskan pada waktu siang, tetapi kini keadaan berbeza apabila ternakan itu didapati berkeliaran pada waktu malam di jalan utama masuk ke perumahan berkenaan.


TONG sampah yang sering menjadi tumpuan kumpulan lembu. FOTO Mohd Amin Jalil

“Keselamatan pengguna terancam kerana mereka terdedah kepada risiko kemalangan.

“Kami juga dapati tong sampah yang disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan perumahan itu menjadi sasaranternakan itu menyebabkan muatannya bersepah,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu mengungdang pula kehadiran anjing liar sekali gus menyebabkan keadaan kotor dan tidak terurus.

Yogeswaran berkata, pihaknya belum dapat mengesan pemilik lembu dan difahamkan ia dimiliki lima individu.

Beliau berkata, pihaknya merujuk masalah itu kepada Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Seremban (JVDS), Julia Abdulllah, bagi membolehkan pihak berkenaan membantu menangani masalah terbabit.

“Saya harap jabatan berkenaan membantu dengan kerjasama PBT, bagi memastikan keadaan itu tidak berlarutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 5:30 AM