PERHILITAN Johor merampas daging babi hutan selepas menahan tiga lelaki di Hutan Simpan Kekal Panti, Kota Tinggi. FOTO IHSAN PERHILITAN.
Izlaily Nurul Ain Hussein


TIGA lelaki ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor selepas disyaki memburu hidupan liar disyaki babi hutan di Hutan Simpan Kekal Panti, Kota Tinggi, semalam.

Ketiga-tiga lelaki berusia antara 27 hingga 54 tahun ditahan kira-kira 10 pagi selepas hasil pemeriksaan terhadap pacuan empat roda menemui bahagian anggota hidupan liar berkenaan.

Pengarah PERHILITAN Johor, Salman Saaban berkata, tangkapan dan rampasan dibuat hasil operasi bersepadu Projek Pemuliharaan Hidupan Liar Johor (JWCP).

“Kita membuat pemeriksaan terhadap pikap jenis Toyota Hilux di Hutan Simpan Kekal Panti dan menemui bahagian hidupan liar disyaki babi hutan.

“Kita kemudian menahan tiga lelaki terbabit selepas mendapati bangkai ditemui tidak memiliki dokumen sah daripada PERHILITAN,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tujuan hidupan liar itu diburu adalah untuk dimakan dengan dagingnya disalai.

Katanya, hidupan liar dirampas kemudian dibawa ke Pejabat PERHILITAN Mersing untuk tindakan lanjut.

“Kita turut menyita kenderaan berserta satu guni mengandungi senjata api iaitu senapang patah dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 7.20 pagi, semalam, di lokasi sama, seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan selepas disyaki meracik ayam hutan.

Salman berkata, dalam operasi sama, pemeriksaan terhadap lelaki itu bersama motosikal jenis Yamaha LC135 menemui seekor ayam disyaki ayam hutan jantan dan seutas racik.

“Individu ini juga tidak memiliki dokumen sah daripada PERHILITAN dan barangan itu dirampas sebelum dibawa ke Pejabat PERHILITAN Mersing.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana memburu atau menyimpan hidupan liar dilindungi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 5:53 PM