Nur Izzati Mohamad


BARU enam bulan dibebaskan dari penjara, seorang lelaki masih tidak serik apabila bersekongkol dengan teman wanitanya untuk mengedar dadah.

Perbuatan kekasih itu tidak bertahan lama selepas mereka ditahan polis di sebuah rumah dekat Permatang Sintok, Kepala Batas, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis menahan pasangan berusia 26 dan 38 tahun berkenaan selepas mendapat maklumat daripada orang awam dan hasil risikan dijalankan.

Beliau berkata, ketika ditahan hanya pasangan itu sahaja yang berada di rumah terbabit.

“Pemeriksaan ke atas rumah itu menemui sejumlah dadah jenis syabu seberat lebih 1.35 kilogram (kg) dan 660 biji pil yaba bernilai RM212,580.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah motosikal Yamaha 125Z untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di Kepala Batas, hari ini.

Noorzainy berkata, pasangan itu dipercayai melakukan kegiatan terbabit selepas suspek lelaki dibebaskan dari penjara sejak Januari lalu.

Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek bekerja sebagai buruh dan masing-masing mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes dadah.

“Ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah dan kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, pihaknya turut menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah selepas menahan seorang lelaki di tempat letak kereta dekat Flat Taman Desa Sena, Kepala Batas pada Khamis lalu.

Beliau berkata, suspek berusia 36 tahun yang aktif dalam kegiatan berkenaan sejak setahun lalu ditahan bersama dadah disyaki syabu seberat 82 gram bernilai RM12,300.

Katanya, suspek yang mempunyai 11 rekod lampau berkaitan kes dadah itu turut positif ujian saringan air kencing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 11:51 PM
NOORZAINY (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPD Seberang Perai Utara, Kepala Batas, hari ini. FOTO Rosli Ahmad.