LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Nor Farhani Che Ad


JABATAN Alam Sekitar (JAS) Kedah mengesan kandungan bahan Acrolein di kawasan ladang sawit di Kampung Baru, Bedong, Sungai Petani, yang dilaporkan mengalami pencemaran bahan kimia, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar negeri, Simon Ooi Tze Min, berkata, bahan kimia itu disyaki menyebabkan dua kanak-kanak dan seorang warga emas di kampung berkenaan mengalami muntah.

“Pemantauan JAS terhadap aduan bau yang dilaporkan penduduk mengesan kandungan Acrolein sebagai salah satu bahan pencemar di tapak terbabit.

“Acrolein adalah salah satu bahan yang digunakan dalam racun herbicide atau racun rumpai yang dipercayai disembur pada tanaman kelapa sawit di kawasan itu,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.

Tze Min berkata, sampel tumbuhan yang disembur dengan bahan semburan berkenaan serta keterangan pemilik kebun diambil bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan masih diteruskan dan kes turut dipanjangkan kepada Jabatan Pertanian bagi tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga dalam membuat semburan racun perosak.

“Semburan perlu mengikut prosedur dan penggunaan racun mengikut saranan oleh pengeluar,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah memantau pencemaran sisa buangan dipercayai bahan kimia di kampung berkenaan.

Kejadian dikatakan berlaku di kawasan berkeluasan 148 meter persegi kira-kira 500 meter jarak dari rumah penduduk.

Berita berkaitan

Pantau bahan kimia di ladang sawit

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 10:16 AM