Mohd Hafizee Mohd Arop


BIMBANG dimarahi ibu, remaja lelaki sanggup membuat laporan palsu mendakwa dirinya disamun dua lelaki hingga kehilangan beg silangnya, bulan lalu.

Bagaimanapun, tindakannya hanya membawa padah apabila didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di Sungai Siput, hari ini.

Hukuman diputuskan Majistret Norhabsarina Ayob selepas tertuduh, Muhamad Arbaz Mohamed Akram, 19, mengaku bersalah terhadap tuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membuat laporan palsu mendakwa beg silang miliknya disamun ketika berada di persimpangan lampu isyarat Kuala Kangsar-Chemor dekat Sungai Siput Utara.

Laporan palsu itu dibuat di Balai Polis Kampung Tawas, Ipoh, pada 7.55 pagi, 14 Julai 2019.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, hasil siasatan polis mendapati beg tertuduh hilang di sebuah kedai makan di Kampung Tasek, Ipoh dan tertuduh yang bimbang dimarahi ibunya kemudian membuat laporan palsu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hwei manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siow memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Remaja terbabit merayu agar dikenakan hukuman paling minimum disebabkan keluarganya susah dan ibunya terpaksa meminjam wang untuk membayar denda yang akan dikenakan.

Norhabsarina kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 kepada tertuduh dan penjara sebulan jika gagal membayar denda itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 11:48 AM
TERTUDUH dihukum denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret. FOTO Mohd Hafizee Mohd Arop.
TERTUDUH dihukum denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret. FOTO Mohd Hafizee Mohd Arop.