FOTO hiasan
Samadi Ahmad


BEKALAN lembu, kerbau dan kambing untuk ibadat korban sempena Aidiladha, minggu depan, bukan sahaja mencukupi malah melebihi permintaan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, jumlah korban ditentukan berdasarkan perangkaan bekalan semasa lembu tempatan dan lembu diimport dalam tempoh tiga bulan sebelum perayaan.

Beliau berkata, selain bekalan ternakan tempatan, sumber bekalan turut diimport dari Thailand dan Australia manakala kambing dan bebiri dari Australia.

“Mengikut statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), stok bekalan lembu bagi penyembelihan Hari Raya Korban sehingga Jun adalah 48,048 ekor manakala kambing dan bebiri 35,940 ekor,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Dialog Industri Ruminan di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama timbalannya, Sim Tze Tzin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Mohd Sallehuddin Hassan .

Katanya, dianggarkan permintaan lembu dan kerbau untuk ibadat korban tahun ini sebanyak 43,808 dan kambing pula 21,832 ekor berdasarkan keperluan masjid, surau dan rumah sembelih.

Salahuddin berkata, seramai 317 pegawai DSV ditugaskan membuat pemeriksaan veterinar di seluruh negara sepanjang musim hari raya korban bermula 10 hingga 14 Ogos ini.

Menurutnya, sebanyak 28 rumah sembelih DSV di seluruh negara sedia beroperasi dan 12 daripada rumah sembelih turut memenuhi syarat Export Supply Chain Assurance System (ESCAS) bagi tujuan penyembelihan ternakan daripada Australia.

“Sehingga tahun ini, DVS turut mengeluarkan lesen kepada 44 rumah sembelih ruminan swasta di seluruh negara bagi tujuan penyembelihan ternakan korban.

“Saya juga menasihatkan penyembelihan di luar rumah sembelih seperti di masjid, sekolah, taman perumahan, tempat awam supaya mendapatkan permohonan permit penyembelihan.

“Dokumen wajib perlu dikemukakan bagi setiap permohonan penyembelihan ternakan adalah Akuan Kebenaran Pindah Ternakan dan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin memaklumkan kajian penubuhan Lembaga Ruminan Negara sudah siap sepenuhnya dan dijangka dibawa ke Kabinet untuk diluluskan di peringkat Parlimen awal tahun depan.

Menurutnya, pelaksanaan lembaga ruminan mengambil masa dua tahun selepas diluluskan penubuhannya kerana perlu mendapat kerjasama dan persetujuan dari semua pihak berkaitan.

“Lembaga ini akan fokus kepada pembangunan industri ternakan dan juga menjaga kebajikan penternak sebagaimana Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 5:24 PM