FOTO hiasan
BERNAMA

BERSEMPENA Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan potongan sehingga 50 peratus merangkumi pelbagai jenis saman trafik yang layak mendapat pengurangan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, enam kaunter disediakan bagi orang ramai membuat semakan dan bayaran saman bermula jam 8 pagi hingga 6 petang pada 3 dan 4 Ogos di Dataran Pahlawan.

“Kebiasaannya program ini mendapat sambutan. Oleh itu, orang ramai termasuk pengunjung dari luar Melaka yang mempunyai saman tertunggak boleh mengambil peluang ini membayar saman masing-masing.

“Namun, terdapat beberapa jenis saman iaitu saman kemalangan, saman berstatus NC (No Compoundable), saman berstatus waran tahun semasa, saman dalam perbicaraan, saman Op Selamat tahun semasa tidak layak mendapat diskaun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama MelakaFM mengenai Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di Melaka, hari ini.

Afzanizar berkata, PDRM yang turut terbabit sebagai pempamer sempena majlis pelancaran itu mempelawa orang ramai termasuk suri rumah mendaftar sebagai Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dan Skuad Aman Wanita (Amanita) pada hari berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, tiada penutupan jalan utama dilakukan pada Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Sabtu ini.

“Bagaimanapun, penutupan jalan dilakukan secara berperingkat hanya membabitkan sebahagian Jalan Parameswara berhampiran pentas utama ketika acara itu bagi memberi laluan masuk kenderaan tetamu kehormat dan pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019.

“Bagi acara Larian Merdeka Sabtu ini membabitkan acara larian jarak sederhana iaitu 3.8 kilometer, penutupan jalan dilakukan secara berperingkat mulai 7 pagi di depan Dataran Pahlawan dan beberapa jalan lain di sekitarnya yang dijangka dibuka sepenuhnya selewat-lewatnya tengah hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 6:14 PM