SUSPEK bersama dadah yang dirampas. FOTO Ihsan Polis
SUSPEK bersama dadah yang dirampas. FOTO Ihsan Polis
Hamzah Osman


POLIS menahan tiga ‘tokan’ dadah yang sedang leka membungkus dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Chandekura, Mukim Kedawang, Langkawi, semalam.

Dalam serbuan 5.30 petang itu, tiga suspek lelaki berusia di antara 23 dan 43 tahun ditahan dan dadah dari jenis syabu serta heroin seberat 5.8 gram (g) berjaya dirampas.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tiga lelaki terbabit menjadikan rumah itu sebagai tempat membungkus dadah.

“Ketika serbuan dilakukan, polis mengesan tiga lelaki terbabit sedang leka membungkus dadah dalam sebuah bilik dengan duduk di atas lantai sambil menghadap satu sama lain.

“Ketika disoal siasat, seorang daripada suspek memberitahu dia dan dua rakannya tidak serik mengedar dadah kerana perlukan duit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, pemeriksaan lanjut polis menemui beberapa paket plastik lut sinar kecil berisi dadah jenis syabu seberat 3.32 g dan heroin (2.48 g), selain seunit alat penimbang digital.

“Siasatan awal mendapati dua daripada suspek terbabit memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah termasuk seorang pernah disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ujian air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis MOP dan seorang lagi pula positif methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) ADB 1952 dan sabit kesalahan

boleh dikenakan hukuman penjara dua hingga lima tahun dan juga dikenakan hukuman tiga hingga sembilan sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 10:15 AM