Hannah (dua dari kiri) meluangkan masa beramah mesra dengan penghuni ketika sesi lawatan kerja ke Sekolah Harapan Negeri. FOTO Khairunisah Lokman
Hannah (dua dari kiri) meluangkan masa beramah mesra dengan penghuni ketika sesi lawatan kerja ke Sekolah Harapan Negeri. FOTO Khairunisah Lokman
Rizanizam Abdul Hamid


JOHOR menjadi negeri tertinggi mencatatkan jumlah paling banyak kes pembuangan bayi di negara ini sehingga Mei lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, daripada 65 kes yang direkodkan, 13 kes adalah di Johor.

“Untuk tahun ini saja setakat Mei lalu, Johor menjadi negeri tertinggi kes pembuangan bayi iaitu 13 kes diikuti Selangor (11) dan Kedah lima kes.

“Secara keseluruhannya, 65 kes pembuangan bayi dilaporkan dan ini adalah angka besar yang perlu dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Harapan Negeri Melaka hari ini.

Hadir sama Exco Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar negeri Ginie Lim Siew Lin; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Burhanuddin Bachik dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Md Azhan Samat.

Mengulas lanjut, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata, dari 2010 hingga 2018, statistik menunjukkan 697 kes pembuangan bayi berlaku di seluruh negara.

“Ini adalah jumlah besar dan daripada 697 kes, 64 peratus atau 446 bayi ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dan ini merugikan negara.

“Tempat pembuangan bayi paling banyak adalah di kawasan kediaman diikuti tandas awam serta tempat pembuangan sampah,” katanya.

Beliau berharap semua pihak terutama keluarga dapat memberi sokongan kepada remaja yang hamil anak luar nikah, bukannya meminggirkan mereka.

“Golongan ini masih muda dan memerlukan sokongan keluarga, komuniti selain pusat kebajikan seperti pusat perlindungan seperti ini yang memberi pengisian agama kepada mereka,” katanya.

Sekolah Harapan di bawah seliaan JAIM mula beroperasi pada 17 September 2010 sebagai pusat perlindungan dan didikan remaja hamil luar nikah yang tidak mendapat perhatian keluarga.

Sejak beroperasi sehingga hari ini, ia sudah memberi perlindungan kepada 370 remaja hamil luar nikah dari seluruh negara dan menyelamatkan 354 bayi dalam tempoh sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 2:57 PM