Foto hiasan
Nur Saliawati Salberi


LAGAK alim seorang lelaki menunaikan solat di beberapa masjid di sekitar Jasin hanya helah apabila mempunyai niat tersembunyi untuk mencuri duit tabung.

Bagaimanapun, kegiatan lelaki berusia 45 tahun dari Cheras, Kuala Lumpur itu terbongkar apabila kehilangan wang tabung disedari pihak masjid.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, pihaknya menerima laporan daripada Ahli Jawatankuasa Masjid Al- Hidayah Kampung Chabau selepas wang di dalam dua tabung di masjid itu hilang.

“Dua laporan dibuat oleh pihak masjid pada 15 Julai lalu apabila kira- kira RM3,000 duit tabung derma didapati hilang, manakala keesokannya kira- kira RM2,500 lagi daripada Tabung Palestin turut lesap.

“Hasil kerjasama daripada kariah, didapati terdapat seorang lelaki asing iaitu suspek ada ke masjid untuk bersolat,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, hari ini.

Arshad berkata, siasatan yang dilakukan kemudiannya membawa kepada penahanan suspek yang menyewa di sebuah rumah di Kesang.

“Suspek ditahan kira-kira 8 malam pada 17 Julai lalu dan kami turut merampas peralatan digunakannya untuk memecah tabung serta sebuah motosikal.

“Hasil soal siasat dijalankan terhadap lelaki itu, dia mendakwa terbabit dalam kira-kira 14 kes pecah tabung masjid dan surau di sekitar Selandar, Kemendor, Chabau, Kesang serta Nyalas.

“Difahamkan, dia aktif melakukan kegiatan itu sejak akhir tahun lalu sehingga Julai sebelum tertangkap,” katanya.

Beliau berkata, semakan rekod lampau turut mendapati dia mempunyai empat rekod jenayah lampau.

“Lelaki berkenaan masih direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 3:23 PM