ZAINAL Abidin dan Nazriza. FOTO Mohamad Hussin
Mohamad Hussin


JURUTEKNIK proses di sebuah syarikat minyak dan gas yang patah kaki kiri akibat digilis treler nekad mengerjakan ibadah haji tahun ini kerana sering bermimpi melihat Kaabah.

Zainal Abidin Bakar, 43, berkata, dia dan isteri, Nazriza Nazril, 43, ada menerima tawaran daripada Lembaga Tabung Haji (TH) tetapi memilih untuk mengikut pakej syarikat swasta di bawah Pengelola Jemaah Haji (PJH).

“Saya tidak sabar menunaikan rukun Islam kelima itu kerana sering bermimpi melihat Kaabah sejak pulang dari mengerjakan umrah beberapa tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Kompleks TH, Sepang sebelum berangkat ke Tanah Suci melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Menceritakan kembali kemalangan menimpanya, Zainal Abidin berkata, kejadian berlaku di Jerteh, Terengganu pada 3 April lalu menyebabkan dia terlantar tiga minggu di Hospital UIA, Kuantan, Pahang.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila treler yang membuat pusingan U tiba-tiba membelok ke kiri menyebabkan motosikal ditunggangnya terjatuh dan kaki kirinya digilis.

Dia berkata, seminggu selepas keluar dari hospital, dia menerima panggilan daripada syarikat swasta terbabit yang memaklumkan terpilih mengerjakan ibadah haji.

“Tanpa berfikir panjang saya terus menerima tawaran berkenaan walaupun menyedari keadaan kaki saya yang belum pulih sepenuhnya.

“Rindu rasanya nak ke Makkah dan Madinah. Kesempatan yang ada ini akan saya gunakan sebaiknya,” katanya.

Sementara itu, Nazriza yang bekerja di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Kuantan berkata, dia dan suami sudah membuat persediaan awal termasuk mengikuti kursus haji sejak awal tahun ini.

“Saya bersyukur kerana Allah SWT memberi kami rezeki untuk menunaikan fardu haji walaupun sedih melihat keadaan suami yang belum sembuh sepenuhnya.

“Insya-Allah, peluang yang ada ini akan kami gunakan untuk melakukan amal ibadat sebanyak mungkin kerana tidak semua umat Islam diberi peluang ke Tanah Suci untuk menunaikan haji.

“Saya dan suami membuat potongan gaji dan menyimpan dalam TH kerana mahu menunaikan haji di usia muda,” katanya yang mempunyai tiga cahaya mata.

Mereka antara 483 jemaah yang terpilih menjadi tetamu Allah sempena Musim Haji 1440H/2019M.

Jemaah berlepas menerusi penerbangan KT54 (XY5788) dari KLIA jam 6.20 petang dan dijangka tiba di Jeddah jam 9 malam (waktu Arab Saudi).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 5:53 PM