Hafidzul Hilmi Mohd Noor


DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memanggil 11 kontraktor penyelenggaraan lif membabitkan 45 Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar ibu kota bagi meneliti keadaan lif sedia ada.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, perbincangan itu akan dilakukan esok bagi mengelakkan kejadian sama tidak berulang.

“Saya terkejut dengan kejadian yang berlaku pada hari ini, susulan itu saya mengarahkan perjumpaan segera bersama 11 kontraktor penyelenggaraan lif PPR bagi meneliti semua prosedur yang dilakukan.

“Kita tidak akan berkompromi dalam hal ini dan akan melakukan siasatan segera,” katanya ketika ditemui selepas membut tinjauan di PPR Kerinchi, Kuala Lumpur, hari ini.

Nor Hisham berkata, pihaknya juga akan membiayai semua kos rawatan terhadap lapan mangsa yang cedera dalam kejadian berkenaan.

“Kami juga akan melihat semula kamera litar tertutup (cctv) ketika kejadian berlaku selain buku log penyelenggaraan.

“Buat masa ini, siasatan terus dijalankan dan kita tidak akan sesekali pandang ringan dengan perkara begini.

“Saya juga pernah menghadapi insiden terperangkap didalam lif,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak mahu kejadian sama berulang kerana perkara berkenaan membabitkan nyawa.

“Perkara sebegini boleh berlaku secara tiba-tiba dan mesti ada sebab kejadian berkenaan berlaku sama ada penyelenggaraan atau lif terlalu usang,”katanya.

Berita berkaitan

Penduduk cerita detik lif terhempas

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 6:07 PM
Laporan portal Harian Metro mengenai kejadian lif PPR Kerinchi, Kuala Lumpur terhempas hari ini.