Beberapa ketul daging dipercayai daging anjing dalam peti sejuk beku ditemui di bahagian dapur premis. FOTO Ihsan Pembaca
Raja Noraina Raja Rahim


SEBUAH restoran di Kampung Baru berhampiran Broga, Nilai dikesan menawarkan menu eksotik daripada daging anjing untuk pelanggannya yang membuat tempahan lebih awal.

Aktiviti jijik pemilik premis itu bagaimanapun terbongkar selepas diperiksa polis yang menerima maklumat daripada orang awam kelmarin.

Dalam pemeriksaan 4.30 petang itu, polis menemui beberapa ketul daging dipercayai daging anjing dalam peti sejuk beku di bahagian dapur premis berkenaan.

Pemeriksaan mendapati pemilik restoran itu mempunyai lesen menjual makanan eksotik dan mendakwa daging itu diambil dari luar negeri itu dan hanya dijual kepada pelanggan membuat tempahan dipercayai bagi mengubati penyakit asma.


Antara peti sejuk beku yang menjadi tempat simpanan daging dipercayai anjing. FOTO Ihsan Pembaca

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, polis menerima laporan mengenai penjualan daging anjing di restoran berkenaan lalu anggota ke lokasi menjalankan pemeriksaan.

“Kita sudah menjalankan siasatan dan menyerahkan kes kepada jabatan berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun ketika dihubungi berkata, restoran itu memiliki lesen menjual makanan eksotik tetapi daging anjing tidak termasuk dalam senarai dibenarkan.

Beliau berkata, siasatan lanjut akan dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 6:29 PM