Tun Dr Mahathir (tengah) bergambar bersama pelajar cemerlang sekolah dan IPT di Melaka. FOTO Khairunisah Lokman
Rizanizam Abdul Hamid


KERAJAAN tetap memperkenalkan tulisan khat atau seni kaligrafi dalam kurikulum Tahun 4 Bahasa Melayu untuk sekolah vernakular biarpun ditentang DAP.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan percaya kepada dasar kemakmuran bersama kerana turut tidak pernah membantah penggunaan penulisan dalam Bahasa Cina di negara ini.

“Ini adalah suatu yang istimewa di negara kita. Tulisan dalam bahasa Cina tidak dibenar di negara lain di Indonesia umpamanya, Filipina dan Thailand mereka menggunakan bahasa mereka.

“Jadi tak kenalah kalau DAP kata kita tak boleh belajar tulis khat,” katanya menjawab soalan hadirin pada Program Townhall Semarak Merdeka Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad yang dihadiri kira-kira 2,000 jemputan di Banda Hilir, Melaka hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal; Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof serta Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, kumpulan DAP yang membantah tindakan itu bagaimanapun bukanlah mewakili suara semua ahli parti terbesar di dalam PH itu.

“Saya fikir inipun (yang membantah) bukanlah semua (ahli) DAP, tapi ada satu bahagian daripada DAP yang menentang jadi saya ingat kita boleh teruskanlah,” katanya.

Rabu lalu, 138 pemimpin akar umbi termasuk 13 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP menggesa Kabinet daripada parti itu membantah rancangan memperkenalkan tulisan khat atau seni kaligrafi dalam kurikulum Tahun 4 Bahasa Malaysia untuk sekolah vernakular.

Dalam kenyataan bersama, kumpulan itu berkata, pelajar sekolah vernakular setakat ini sudah mempelajari tiga bahasa dan tiga sistem penulisan.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan Khamis lalu menjelaskan pengenalan tulisan khat adalah untuk memupuk gaya penulisan yang indah dan ia tiada kaitan dengan tulisan Jawi dan pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan.

Media hari ini melaporkan dua pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong menafikan laporan ia akan menganjurkan satu perhimpunan 5 Ogos ini bagi membantah langkah Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan jawi dalam subjek Bahasa Melayu di sekolah Jenis Kebangsaan.

Dong Jiao Zong sebaliknya menjelaskan hanya satu mesyuarat dalaman yang akan diadakan bersama beberapa pertubuhan pelbagai kaum untuk membincangkan isu penambahan seni khat dalam subjek Bahasa Melayu di SRJKC dan SRJKT.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 8:37 PM