GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


PIHAK tertentu termasuk DAP dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) digesa tidak menangguk di air keruh susulan pendirian muktamad kerajaan meneruskan pengenalan tulisan khat di sekolah rendah.

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Marzuki Yahya berkata, ia adalah komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk memelihara kesenian dan kebudayaan di negara ini dan rantau nusantara.

Katanya, seni khat bukan setakat konseptual kepada tulisan serta kesenian bangsa Arab semata-mata, bahkan dicatatkan sejarah bahawa ia berkembang sehingga mempengaruhi bangsa Parsi, Hindi, Saljuk iaitu orang Turki dan penduduk di Kepulauan Melayu iaitu Tanah Melayu, kerajaan Aceh, Parsi, Borneo dan Mindanao.

“Mempelajari seni khat atau tulisan jawi sama sekali tidak menggugat pegangan agama seseorang seperti mana ditegaskan oleh sasterawan Prof Madya Dr Lim Swee Tin.

“Kita harap keresahan dibangkitkan sesetengah pihak terhadap seni khat sebagai perkongsian perbezaan pendapat yang akhirnya menjurus kepada suatu bentuk pemahaman bahawa kepelbagaian itu kekuatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan tetap akan memperkenalkan tulisan khat atau seni kaligrafi dalam kurikulum Tahun 4 Bahasa Melayu untuk sekolah vernakular biarpun ditentang DAP.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), kumpulan DAP yang membantah tindakan bagaimanapun bukanlah mewakili suara semua ahli parti terbesar di dalam PH

Rabu lalu, seramai 138 pemimpin akar umbi termasuk 13 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP menggesa Kabinet daripada parti itu membantah rancangan memperkenalkan tulisan khat atau seni kaligrafi dalam kurikulum Tahun 4 Bahasa Malaysia untuk sekolah vernakular.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 11:54 AM