KAMPAR 04 OGOS 2019. Seorang lelaki maut selepas kereta dinaiki bersama dua yang lain terbabit kemalangan di Kilometer 31 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur berhampiran Kuala Dipang. NSTP/IHSAN BOMBA
Muhammad Apendy Issahak


SEORANG lelaki maut selepas kereta dinaiki bersama dua yang lain terbabit kemalangan di Kilometer 31 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Kuala Dipang di Kampar, pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, kemalangan membabitkan kereta Proton Iswara Aeroback dinaiki mangsa dengan Honda City dan van Nissan Vanette.

Penumpang hadapan, Proton Iswara itu, John Dhewin, 22, maut ketika dirawat di hospital manakala adiknya, Lourance Paul yang memandu cedera di tangan dan kaki, selain seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang luka di paha.

Kemalangan itu turut mengakibatkan pemandu Honda City lelaki berusia 33 tahun dan pemandu van lelaki berusia 42 tahun cedera, manakala seorang penumpang van lelaki berusia 23 tahun terselamat.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, pihaknya menerima maklumat awam berhubung kemalangan itu yang berlaku berhampiran sebuah surau di Batu 20 Kuala Dipang.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati Proton Iswara terbabit dari arah Ipoh ke Kuala Lumpur, manakala kenderaan Honda City dan van berkenaan dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, Proton Iswara itu dipercayai memasuki laluan bertentangan kerana pemandu dipercayai mengantuk (akuan pemandu) lalu bertembung dengan Honda City sebelum van yang berada di belakangnya merempuh Proton Iswara berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Kampar untuk rawatan kecemasan dan kira-kira 9 pagi, polis dimaklumkan penumpang hadapan Proton Iswara terbabit meninggal dunia.

“Setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan kesemua pemandu ketiga-tiga kenderaan terbabit diambil darah untuk tujuan mengesan alkohol dan dadah dalam badan.

“Kenderaan yang terbabit juga ditahan bagi tujuan pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 4:09 PM